Liga Super Malaysia Berita

Walaupun hilang deria mata, bekas pemain Terengganu ini tetap mahu bantu golongan asnaf

Mohd Faizal Muhamad mengalami titik hitam dalam hidupnya apabila terpaksa bersara daripada dunia bolasepak kerana mengalami kecacatan kekal pada mata kanannya akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

Ketika itu, Faizal dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Sentul Patah, Marang, Terengganu selepas membantu Melaka United menewaskan Perak 3-2 di Ipoh beberapa jam sebelum kejadian.

Kereta dipandu Faizal hilang kawalan sehingga terlanggar kereta lain di Kilometer 250.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Jabor, Kemaman.

 

Akibat kemalangan itu, Faizal mengalami kecederaan serius pada bahagian mata dan kaki kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan segera.

Namun nasibnya kurang baik apabila pakar mata mengesahkan Faizal terpaksa meneruskan kehidupan tanpa dapat melihat dengan jelas seperti dahulu.

“Begitu sayang kerana terpaksa bersara dengan keadaan sebegini bukan kerana faktor umur kerana kudrat saya masih ada. Saya percaya masih ada pasukan yang menginginkan khidmat saya,” katanya kepada BH Sukan.

“Namun, jika diizinkan Allah suatu hari nanti apabila mata saya kembali pulih seperti sedia kala, mungkin saya memikirkan semula untuk kembali ke kancah bola sepak dengan menjadi jurulatih.”

Bagaimanapun, sesusah-susah Faizal sekalipun, dia tetap merasakan ada orang yang lebih susah daripada dirinya, terutamanya ketika perintah kawalan pergerakan dilanjutkan akibat wabak COVID-19.

Setakat ini, sebanyak 35 keluarga di kampungnya mendapat bantuan.

“Sebanyak RM3,500 diperuntukkan kepada 35 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf termasuk orang tua, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan sumbangan kerana tidak dapat meneruskan kerja seperti biasa, mereka diberikan keperluan harian termasuk beras.

“Hati saya tersentuh apabila dapat tahu ada sebahagian penduduk di Kampung Sentul Patah, Marang yang terkesan dengan pelaksanaan PKP ini.

“Saya menggagah diri juga dan berusaha sekadar termampu untuk membantu mereka yang memerlukan sumbangan bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya juga sedih kerana ada antara mereka terpaksa mencatu makanan kerana tidak dapat meneruskan kerja seperti biasa.

“Insya-Allah selepas ini saya akan berusaha lagi untuk membantu mereka yang memerlukan.”