Malaysia Berita

Matyo: Ejen putar belit kisah sebenar

Perang mulut antara pemain BG Pathum United, Norshahrul Idlan Talaha dan ejennya Abdul Halim Abdul Shukor berterusan apabila kedua-duanya tuduh-menuduh antara satu sama lain.

Terbaru, Norshahrul menganggap Abdul Halim sengaja menggunakan isu antara pemain itu dengan ejen Pro24 di Thailand untuk mengelak daripada menjawab tindakannya yang enggan berhubungan dengan pemain itu meskipun keluarganya sangat memerlukan bantuan dan nasihat ketika berhadapan dengan COVID-19.

“Beliau (Abdul Halim) mendakwa saya tandatangan dengan Pro24 Agency tanpa pengetahuan beliau tetapi perkara sebenar adalah sebaliknya,” katanya kepada Sukan Sinar.

“Saya telah maklumkan kepada beliau yang saya sudah tandatangani dengan Pro24 Agency tetapi beliau kata tiada masalah kerana beliau boleh selesaikan perkara itu dengan pihak pengurusan BG Pathum United termasuk pengarah teknikal dan ketua jurulatih.

“Beliau sendiri yang beri jaminan kepada saya ketika itu tiada masalah dan mengapa pula dalam kenyataannya hari ini, beliau kata hal itu berlaku tanpa pengetahuannya?

“Keduanya, beliau mendakwa BG Pathum United masih belum membayar yuran ejen kepadanya tetapi kelab telah memberitahu kepada saya, yuran ejen itu sudah pun diperolehinya. Adakah kelab berbohong atau beliau yang berbohong?

“Secara logiknya kalau belum dapat yuran ejen, sudah tentu beliau masih menghubungi saya dan kelab. Tapi apabila beliau sendiri menghilangkan diri, nampaknya memang dah dapatlah rasanya.”

“Saya pun tak mahu perkara ini berlarutan. Harap beliau dapat hubungi saya segera dan kita boleh berbincang perkara-perkara yang berkaitan dengan baik. Cuma janganlah lepas tangan.”