Semalam, JDT merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali kelima dalam sejarah serta menjadi pasukan pertama meraih tiga mata penuh bagi musim 2020.
Hari ini terdapat tiga perlawanan Liga Super. Football Tribe menganalisa perlawanan tersebut.
UiTM lawan Melaka United
UiTM FC merupakan underdog dalam perlawanan kali ini biarpun beraksi di laman sendiri. Dengan majoriti pemain adalah pelajar universiti UiTM sendiri, Melaka dijangka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan keputusan positif.
Kehadiran pemain baharu seperti Uche Agba, Sony Norde, Romel Morales, Syamim Yahya dibantu dengan kapten pasukan Safiq Rahim, peminat Melaka mengharapkan mereka akan meraih tiga mata penuh hari ini.
UiTM bagaimanapun mempunyai kelebihan tersendiri apabila dikendalikan oleh bekas jurulatih B-23 negara, Frank Bernhardt serta dibantu oleh bekas pemain Shrewsbury Town, Ousmane Fane dan pemain Lebanon, Rabih Ataya yang membantu Al Ahed menjuarai Piala AFC 2019.
Terengganu lawan Perak
Perlawanan yang sukar untuk diramal, kekuatan kedua-dua pasukan boleh dikatakan hampir sama, mereka juga membawa masuk beberapa pemain baharu.
Namun Terengganu mempunyai kelebihan bermain di Stadium Sultan Mizan, dan jika beraksi baik, mereka mungkin dapat meraih tiga mata penuh hari ini.
Perak bagaimanapun memiliki kelebihan tersendiri apabila diperkuatkan dengan penyerang berbisa Guilherme de Paula, bekas pemain Terengganu, Thierry Chantha Bin dan Anthony Golec.
Salah satu perlawanan tumpuan hari ini.
Pahang lawan Selangor
Pahang akan bermula sedikit tempang hari ini tanpa beberapa pemain utama termasuk bekas kapten Matthew Davies, namun kemasukan tiga import baharu iaitu Ivan Carlos, Khalil Khamis, Adam Reed serta Dicskon Nwakaeme yang kembali untuk musim baharu dijangka memberikan nafas baharu kepada pasukan untuk mendapat keputusan baik di laman sendiri.
Selangor pula berharap dapat membawa pulang tiga mata dan mengambil kesempatan di atas masalah yang dihadapi oleh Pahang. Kemasukan pemain kebangsaan Brendan Gan serta bekas pemain Pahang, Safuwan Baharudin dijangka menyinar dalam perlawanan malam ini.
PDRM lawan Sabah
Tidak banyak yang diketahui dari segi kekuatan kedua-dua pasukan namun Sabah mempunyai kelebihan selepas membawa masuk bekas penjaga gol Terengganu, Wan Azraei Wan Teh, bekas pemain kebangsaan Zubir Azmi termasuk tiga pemain import, Hector Ramos, Petrus Shitembi dan Dennis Buschening.
PDRM yang dikendalikan oleh Ishak Kunju berdepan tugas sukar, terutamanya terpaksa memulakan musim dengan kehilangan tiga mata kerana gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh yang ditetapkan.
Pasukan polis itu juga merupakan satu-satunya pasukan yang hanya mempunyai tiga pemain import termasuk bekas pemain Selangor, Antonio German.