Liga Super Malaysia Berita

Kedah: Aidil Sharin dedah mengapa gandingan Fadzrul Danel dan Amirul Hisyam menjadi

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap memuji keseluruhan pasukan terutamanya dua pemain muda, Amirul Hisyam Awang Kechik dan Mohd Fadzrul Danel yang bekerja keras memberi tentangan sengit meskipun tewas 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan CIMB Piala Sumbangsih 2020, semalam.

Aidil menyifatkan keputusannya untuk tidak menurunkan pemain tengah berpengalaman David Rowley dan Amin Nazari dalam kesebelasan utama sebaliknya mempertaruhkan dua pemain muda itu adalah tepat bagi memberi peluang kepada mereka untuk beraksi.

Nyata, aksi Amirul dan Fadzrul di bahagian tengah tidak mengecewakan untuk memberi masalah kepada skuad Harimau Selatan itu dan mencipta peluang mengasak lebih garang ke kubu lawan pada separuh masa pertama.

Jelas Aidil, ini membuktikan beliau kini sudah mampu untuk meletakkan kepercayaan kepada pemain muda selepas ini sambil menyifatkan kekalahan kepada JDT semalam bukanlah disebabkan oleh kegagalan pemain tetapi hanya rezeki tidak memihak kepada mereka.

“Saya memang suka pemain-pemain muda yang saya ada dalam pasukan sekarang kerana mereka mempunyai sesuatu yang pemain senior tidak ada iaitu keghairahan dan keinginan yang ditonjolkan di atas padang.

“Saya tidak menurunkan Rowley dan Amin dalam skuad utama bukan bermaksud mereka tidak bagus, tetapi saya memerlukan tenaga dan kekuatan pemain muda untuk mengawal bahagian tengah dan mereka berjaya membuktikan sesuatu kepada saya.

“Satu permulaan yang bagus walaupun kami tewas kerana ini akan mencipta satu persaingan yang sihat sesama mereka dalam pasukan ini untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.”