Di sebalik kemenangan Piala Sumbangsih 2020, jurulatih JDT Benjamin Mora mengakui Kedah mempamerkan aksi yang lebih baik dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk melihat pasukannya bergelut untuk menguasai permainan.
Katanya, persembahan Kedah cukup berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu apabila barisan pemain JDT nyata bergelut untuk mencari gol sebelum akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit 45 menerusi Mauricio.
“Ingin saya katakan bahawa kemenangan ini bukan senang untuk diraih dan ia merupakan perlawanan yang sangat sukar untuk kami kerana corak permainanan ditampilkan Kedah sudah banyak berubah dan lebih baik.
“Bukan senang untuk pemain saya membaca pergerakan mereka sebelum akhirnya berjaya mendapatkan satu jaringan dan selepas itu, pasukan bergelut untuk menguasai keseluruhan permainan.”
JDT berjaya mempertahankan trofi Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut dan lebih manis ia diraih di laman baharu mereka iaitu Stadium Sultan Ibrahim serta meraih tiga mata pertama musim ini.