Liga Super Malaysia Berita

Dollah Salleh: Saya tak berani letak sasaran Pahang musim ini

Pahang menjadi satu-satunya pasukan yang tidak meletakkan sasaran pada musim ini, apabila jurulatihnya Dollah Salleh enggan berbuat demikian.

Rata-rata pasukan Liga Super mahu memenangi sekurang-kurangnya satu piala, ada juga yang mahu menyapu bersih semua piala, tetapi berbeza pula dengan Pahang.

“Saya tidak berani untuk bercakap tentang sasaran tahun ini,” katanya kepada Bernama.

“Saya sendiri masih tercari-cari kesebelasan utama Pahang.”

Namun Dollah berharap barisan pemain baharu pasukannya akan menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Apa yang kami mahu ialah keserasian antara pemain tempatan dan import. Kami percaya kepada pengalaman pemain sedia ada, dibantu dengan muka baharu untuk melakukan yang terbaik.”

Agak luar biasa untuk Pahang tidak meletakkan sasaran, selepas pasukan itu muncul naib juara Liga Super 2019 di belakang kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas mengutip 43 mata, beza 10 mata dengan Harimau Selatan yang mengumpul 53 mata.

Keadaan Pahang ketika ini seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kehilangan Matthew Davies, pemain utama seperti Mohamadou Sumareh dan Herold Goulon pula mengalami kecederaan menjelang perlawanan pembukaan menentang Selangor minggu ini.

“Kecederaan menyebabkan Sumareh tidak dapat diturunkan dalam lima atau enam perlawanan persahabatan sebelum ini, manakala Goulon sudah 20 hari tidak dapat beraksi kerana baru sembuh.

“Prestasi pemain import baru, Ivan Carlos Franca Coelho, pula kelihatan goyah pada awalnya tetapi kini semakin baik dan berharap aksinya lebih baik apabila mereka mula beraksi di peringkat tertinggi.”

Musim ini, Pahang mendapat tajaan jersi daripada Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd dan akan tampil menggunakan jersi utama jenama Umbro berwarna kuning, jersi berwarna hijau untuk jersi kedua, dan jersi berwarna merah jambu sebagai jersi ketiga.

Mungkin satu-satunya berita gembira daripada Pahang adalah pengenalan aplikasi telefon pintar PahangFA, memudahkan penyokong untuk membeli tiket secara atas talian.