Liga Super Malaysia Berita

Perlawanan Malaysia-Bahrain dibatalkan kerana koronavirus

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa Harimau Malaya bertemu Bahrain di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain yang dijadual pada 21 Mac 2020 terpaksa dibatalkan akibat koronavirus.

Katanya, Bahrain telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak COVID-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

“Menerusi surat yang diterima FAM daripada Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA), hari ini, setiausaha agungnya, Ebrahim Saad Al Buainain memaklumkan bahawa pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan penganjuran perlawanan berkenaan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara berkenaan.”

“FAM menerima secara terbuka pembatalan ini dan akan melakukan pelan alternatif bagi penyediaan pasukan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan menentang Vietnam di Bukit Jalil pada 31 Mac 2020.”

FAM dijangka mengumumkan perlawanan persahabatan bersama negara lain esok.