Liga Super Malaysia Berita

Faisal Rosli: Kehilangan Matthew Davies bagi kesan mendalam kepada Pahang

Pemain pertahanan kiri Pahang, Faisal Rosli mengakui berasa terkilan apabila mendapati kaptennya Matthew Davies meninggalkan Pahang pada musim ini, terutamanya seminggu sebelum liga bermula.

Malah, Faisal menganggap Matthew merupakan seorang kapten yang bertanggungjawab dan mampu memimpin pasukan dengan baik.

“Banyak kenangan manis dan pahit untuk dikenang kerana dia juga adalah kapten dan sudah pasti ketiadaannya memberi kesan yang mendalam buat kami,” katanya kepada Arena Metro.

“Lebih-lebih lagi, ketiadaan Davies berlaku ketika saingan Liga Malaysia, khususnya Liga Super bermula minggu depan.

“Bagaimanapun, perjuangan tetap perlu diteruskan dan saya percaya Pahang tetap berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi saingan liga musim 2020.

“Sokongan padu peminat diharap berterusan untuk memberi motivasi dan semangat kepada kami.”

Matthew Davies menyertai JDT pada Isnin lalu dengan nilai perpindahan dianggarkan antara RM1 hingga RM2 juta.

Sehingga kini, Pahang masih belum mengumumkan pengganti posisi tersebut.