Pemain Singapura, Safuwan Baharudin baru sahaja menyertai Selangor namun salah sebuah kelab gergasi Thailand menawarkan tawaran lumayan kepada Red Giants.
Menurut laporan dari Stadium Astro, tawaran itu membolehkan Selangor untuk menandatangani dua pemain import baharu tetapi urusan perpindahan itu akhirnya tidak diteruskan.
Jurulatih Selangor, B. Sathiananthan mengakui terdapat perbincangan rasmi dengan kelab Thailand itu.
“Itu menunjukkan bahawa Safuwan mempunyai kualiti. Kami berbangga dengan apa yang kami ada, iaitu seorang pemain yang berkualiti.
“Sebagai jurulatih, saya tidak mahu kehilangannya.
“Tetapi inilah bola sepak dan kami perlu memikirkan tentang kebaikan pemain.
“Namun, setakat ini, tiada apa-apa lagi.”
Bagaimanapun, Sathia tidak akan menghalang mana-mana pemainnya jika mereka mahu menyertai pasukan lain.
“Saya tidak akan tahan dan paksa seseorang. Saya tidak suka.
“Sebagai jurulatih, saya lebih suka jika mereka merelakan diri untuk bermain.
“Mereka perlu gembira berada dalam pasukan.
“Tetapi saya melihat Safuwan sudah memenuhi syarat itu.”
Safuwan menyertai Selangor musim ini selepas dua tahun beraksi di Pahang.