Liga Super Malaysia Berita

Stadium Shah Alam alami kerosakan serius

Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata Stadium Shah Alam mengalami kerosakan serius dari segi bumbung dan padang, sekaligus mengarahkan Selangor supaya membaikinya sebelum liga bermula.

Perkara ini dapat diperhatikan apabila Selangor menganjurkan Asia Challenge 2020 bulan lepas yang menyaksikan keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak, terutama dalam soal padang dan bumbung bocor, sehingga ada serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton.

Kata Shazli, semua venue perlawanan liga perlu mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Feb, atau Selangor tidak dibenarkan untuk menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah mereka musim ini.

“Kita telah membuat semakan ketika melakukan pemeriksaan pertama dan pihak FAS telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius kepada aspek bumbung dan padang,” katanya kepada Bernama.

“Kalau mereka tidak buat (baiki), stadium itu tidak akan diluluskan.

“Tetapi saya difahamkan Selangor sedang dalam proses memastikan perkara itu dibaik pulih dan sebarang penambahbaikan akan dibuat. Seminggu sebelum liga bermula kita (MFL) akan mengemas kini status venue pertandingan untuk musim ini.”

Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon mengetahui kerosakan stadium tersebut, namun mengakui pihaknya tidak terlibat dalam kerja-kerja pembaikan stadium.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu mengenai pemeriksaan tersebut dan juga pemintaan mereka untuk kami (FAS) perbaiki. Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Stadium Shah Alam dari segi pembaikan padang dan juga bumbung, sebab kami tidak mempunyai kapasiti dan sumber untuk membuat apa-apa di situ.

“Saya tahu yang Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) telah mengeluarkan satu tender untuk pembaikan bumbung beberapa bulan lepas, jadi mereka sedang dalam proses untuk membaiki stadium, tetapi FAS memang tidak terlibat dalam hal ini.”

Walaubagaimanapun, Johan berkata mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya jika Selangor diminta untuk menggunakan venue lain sebagai tuan rumah.