Liga Super Malaysia Berita

MFL bakal tandatangan perjanjian baharu bersama TM

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal menandatangani sebuah perjanjian baharu bersama Telekom Malaysia Berhad sebagai penaja rasmi untuk musim 2020.

Menurut satu jemputan daripada TM, anak syarikatnya TM Multimedia dan MFL dijangka menandatangani perjanjian itu pada Jumaat ini.

“Kami dengan sukacitanya menjemput anda untuk menyaksikan majlis menandatangani antara Telekom Malaysia, menerusi anak syarikatnya TM Multimedia dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M).

“Sertai kami untuk meraikan pembaharuan kerjasama kami dengan MFL dan untuk memelihara semangat perpaduan dalam menyokong senario bola sepak tempatan dan sukan Malaysia,” menurut jemputan itu.

Ini bermakna, MFL dan TM kembali mencapai satu persefahaman baharu selepas kontrak perjanjian selama lapan tahun berjumlah sekitar RM480 juta dengan MFL yang dimeterai pada Januari 2018 ditamatkan secara tiba-tiba pada Mac 2019.

Ia disusuli dengan tuntutan saman daripada MFL terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran liga, namun badan pengendali bolasepak negara itu menarik balik tuntutan saman tersebut.