Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi menepis dakwaan bahawa terdapat pasukan dari Liga M3 dan M4 yang menjadi pasukan reserve kepada pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini.
Katanya, pelaksanaan pasukan reserve hanya melibatkan dua liga tertinggi dan tidak melibatkan liga AFL.
Ini bagi menjelaskan kekeliruan dalam kalangan peminat memandangkan terdapat pasukan yang mendapat sokongan daripada persatuan bolasepak yang sama.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada status ‘Reserve Team’ di peringkat Liga M3 mahupun Liga M4 buat masa ini sebagaimana sistem itu hanya digunapakai oleh pasukan Liga Super sahaja.
“Saya berharap orang ramai tidak keliru dengan segelintir pasukan yang memiliki nama hampir sama dengan pasukan liga atasan seperti Melaka dan Melaka United FC, Sarawak United dan Sarawak FA, Kuala Lumpur dan KL Rovers. Pasukan M3 ini bukan berstatus ‘Reserve Team’,” katanya kepada AFL.
Justeru hanya terdapat empat pasukan reserve sahaja pada musim ini iaitu JDTII, Terengganu FC II, Selangor II dan Perak II.
Penstrukturan semula Liga M3 menyaksikan Melaka United FC, Semarak FC dan KL Rovers mengisi slot di Liga M3, membabitkan 20 pasukan yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan.
Pemenang pusingan play off iaitu KSR SAINS dan Ikram Muda FC termasuk empat lagi pasukan yang bermain di pusingan playoff iaitu PIB FC, Klasiko FC, Thai Selangor FC dan NLFC-MAHSA turut mengisi slot bagi memenuhkan kuota 20 pasukan bagi saingan Liga M3 musim ini.
Bermula musim depan, hanya 12 pasukan dengan rekod kewangan baik akan dibenarkan beraksi di saingan Liga M3 manakala baki lapan pasukan lagi akan bersaing di Liga M4 dan empat lagi pasukan terbaik Liga M4 2020 akan dipilih.
Selain itu, liga-liga bolasepak negeri ataupun liga swasta yang diiktiraf oleh AFL akan diselaraskan menjadi Liga M5.
Menurut AFL, penambahbaikan ini bagi memastikan kualiti pasukan di Liga M3 tidak terlalu jauh seandainya pasukan amatur layak bertanding di Liga Premier.