Liga Super Malaysia Berita

Ashari Samsudin bersara

Pemenang Piala AFF Suzuki 2010, Ashari Samsudin akhirnya membuat keputusan untuk bersara pada usia 34 tahun selepas 15 tahun berkhidmat dalam karier bolasepak profesional.

Laman portal rasmi kerajaan negeri Terengganu, Teganukita.com mendedahkan bahawa hasrat Ashari untuk bersara telah pun diberitahu kepada jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.

Nafuzi berkata, walaupun pihak pengurusan telah menawarkan kontrak kepada Ashari, beliau membuat keputusan untuk menamatkan kariernya pada musim ini.

“Bagi saya, dia adalah pemain tempatan yang berkualiti dan sememangnya kami memerlukan khidmatnya, sejak awal kami telah menawarkan kontrak padanya,” katanya.

“Tetapi keputusan itu telah dibuat olehnya, dan itu pilihannya, kami menghormati keputusan itu.”

Ashari memulakan kariernya bersama pasukan Piala Presiden Terengganu pada 2003 sebelum menjadi sebahagian daripada pasukan utama pada musim 2007.

Ashari mula mencuri tumpuan apabila menjaringkan 12 gol pada saingan Liga Super musim 2009.

Namun puncak kariernya bermula pada musim 2010 apabila memenangi kasut emas setelah menjaringkan 18 gol untuk Terengganu bagi musim 2010.

Pada tahun yang sama, Ashari menjaringkan satu gol untuk Malaysia yang menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan akhir, sekaligus memenangi Piala AFF Suzuki buat pertama kali dalam sejarah.

Ashari meneruskan prestasi terbaiknya apabila menjaringkan 10 gol pada musim 2011, selain membantu Terengganu memenangi Piala FA setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir.

Pemain digelar silent killer itu kekal di Terengganu sehingga 2016, sebelum beliau membuat keputusan untuk menyertai Pahang bagi musim 2017.

Selepas hanya semusim, Ashari kembali ke Terengganu dan bergandingan semula dengan jurulatih Irfan Bakti.

Bagaimanapun di hujung karier, Ashari bergelut dengan kecederaan dan berkemungkinan menjadi faktor beliau membuat keputusan untuk bersara lebih awal.