Liga Super Malaysia Berita

Tiga pasukan liga Malaysia layak bertanding ACL2021 dan Piala AFC

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan bahawa tiga pasukan layak bertanding di AFC Champion League dan Piala AFC bermula tahun hadapan.

Katanya, juara Liga Super akan meraih slot automatik manakala juara Piala FA dan naib juara Liga layak bertanding dalam pusingan kelayakan.

Penambahan itu berlaku berikutan ranking liga Malaysia kini berada di tempat ke-9 dalam zon Asia Timur.

Namun Stuart berkata, jika pemenang Piala FA atau naib juara liga meraih slot automatik, Malaysia akan kehilangan tempat dalam saingan Piala AFC.

“Kalau kami dapat slot automatik dalam ACL, ia juga bermakna kami tiada lagi slot automatik dalam Piala AFC,” katanya kepada Stadium Astro.

“Sebagai negara membangun, adalah penting juga untuk kami berada dalam Piala AFC dan ACL.

“Tiga pasukan yang akan menyertai ACL dan Piala AFC berpeluang bermain di peringkat tertinggi dan menimba pengalaman yang sangat bermanfaat.

“Bukan sahaja dalam bola sepak tempatan, malah kepada pasukan kebangsaan.”