Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Saya mahu pemain baharu di Selangor

Jurulatih Selangor, B. Sathiananthan menyuarakan hasratnya kepada pengurusan Selangor untuk menambah pemain baharu dalam pasukannya.

Ini setelah Selangor kehilangan Nor Hakim Hassan yang terpaksa berehat panjang kerana kecederaan ACL.

Kata Sathia, status kontrak Nor Hakim bergantung kepada pihak pengurusan sama ada beliau akan terus kekal di Shah Alam.

Malah, Red Giants masih belum memiliki pemain pertahanan kiri yang berkaliber.

Berbanding menandatangani pemain dari luar, Sathia mahu membawa masuk pemain dari Selangor II, iaitu Ahmad Zikri Mohd Khalili yang bermain sebagai pemain pertahanan kiri.

Namun, majoriti pemain Selangor II akan terlibat dengan latihan skuad kebangsaan.

“Saya dapat tahu pemain Selangor II akan terlibat dengan skuad AFC B-19, yang dikendalikan ileh Brad Maloney,” kata Sathia pada sidang media Asia Challenge 2020.

“Kalau mereka tidak ada, ini macam kita tidak ada pemain tambahan. Jadi saya sudah meminta pihak pengurusan untuk membawa masuk pemain lain sebab kita tidak boleh bergantung kepada Selangor II.

“Kalau mereka dilepaskan untuk skuad kebangsaan, kita tidak ada pilihan. Saya akan bertemu dengan pengurusan mengenai perkara ini.”

Sathia menegaskan, beliau hanya mahukan pemain tetapi segalanya terpulang kepada pihak pengurusan.

“Apa yang saya mahukan adalah pemain. Itu sahaja. Bagus kalau boleh dapat pemain muda dari Selangor II tetapi adakah mereka akan ada bila saya perlukan mereka?

“Kalau saya tak bagi pemain beraksi, nanti ada yang bising saya tak bagi main. Kalau saya lepaskan pemain, orang akan kata saya bodoh sebab buat macam itu. Saya dalam situasi kalah-kalah jadi saya tak nak cakap apa-apa.”