Liga Super Malaysia Berita

Robert Alberts dedah perbezaan besar antara bola sepak Malaysia dengan bola sepak Indonesia

Sebagai persediaan Persib Bandung untuk kejohanan Asia Challenge 2020 di Shah Alam, Malaysia, ketua jurulatih Robert Alberts berkongsi pengalamannya menguruskan pasukan bola sepak di Malaysia dan Indonesia.

Jurulatih Belanda berusia 65 tahun itu tiba di Malaysia buat kali pertama pada 1992, menguruskan Kedah selama tiga tahun.

Alberts kembali ke Malaysia pada 2007 untuk menguruskan Malaysia U-19, sebelum menyertai Sarawak sebagai ketua jurulatih setahun kemudian.

Beliau kemudian menguruskan pasukan Arema yang memenangi liga pada musim 2009-2010, sekaligus menjadi jurulatih asing pertama memenangi liga di Indonesia.

Alberts menyertai PSM Makassar pada 2010 sebelum kembali ke Sarawak untuk kali kedua pada 2011 dan menetap di sana selama lima tahun.

Selepas penyingkiran Sarawak ke Liga Perdana, Alberts kembali ke PSM buat kali kedua pada 2016 sebelum menyertai Persib Bandung tahun lepas.

Pengalamannya di Malaysia dan Indonesia telah membuatkan Alberts menyedari bahawa terdapat perbezaan besar dari segi mentaliti, infrastruktur, organisasi di dua negara.

“Di Malaysia, pasukan sudah memulakan pra-musim dan tahu bila musim akan bermula, tetapi di Indonesia, kita tidak tahu bila kita bermula. Itu sendiri menjadi perbezaan yang sangat besar.

“Malaysia lebih maju kerana mereka menguruskan bola sepak secara profesional, penting untuk mengetahui semua perkara ini. Jadi kami mahu menetapkan sasaran dan berusaha ke arah itu.

“Dari segi infrastruktur, majoriti stadium di Indonesia mempunyai banyak penonton, mereka sangat menyukai kelab mereka, tiada siapa pun yang pergi ke stadium dengan jersi Barcelona, ​​mereka memakai jersi kelab mereka, Persib Bandung, Arema Malang dan PSM Makassar.

“Mereka benar-benar hidup untuk pasukan kesayangan mereka, ini budaya mereka, mereka melakukan segalanya untuk menyokong kelab mereka.

“Setiap bandar mempunyai stadium, walaupun kampung kecil mereka mempunyai stadium sendiri, mereka mempunyai sistem piramid, mereka mempunyai format liga yang teratur, divisyen 1, 2 dan 3.

“Liga mereka juga mempunyai sistem untuk layak ke liga paling atas sedangkan di Malaysia, mereka mempunyai bilangan pasukan dan stadium yang terhad sehingga terdapat perbezaan besar dalam sistem liga.

“Dari segi organisasi, Indonesia hanya cuba membina apa yang sudah ada di Malaysia, jika ia dapat dilakukan, mereka akan menjadi gergasi bolasepak kerana mereka mempunyai semangat, bakat dan kelab. Jadi tugas kami untuk memastikan bahawa kami akan mempunyai infrastruktur dan organisasi yang lebih baik.”

Dalam Asia Challenge 2020, Persib akan menghadapi Selangor pada hari Sabtu dan Hanoi FC pada hari Ahad.

“Ini peluang yang baik untuk pemain muda terdedah dengan kelab-kelab antarabangsa kerana kami akan bersaing dalam Piala AFC tahun ini.

“Kami tidak akan membariskan pasukan utama seperti biasa kerana musim baru sahaja berakhir pada 22 Disember.

“Pra-musim kami hanya bermula pada 22 Januari. Saya tahu jurulatih Selangor, B. Sathianathan adalah jurulatih yang baik, tapi dia belum kenal dengan pasukan saya, jadi kami berharap dapat memberi kejutan kepada Selangor nanti.”