Liga Super Malaysia Berita

Pahang nafi “tiada duit”

Pengurus Pahang, Suffian Awang menafikan mereka mempunyai masalah kewangan sebaliknya menggunakan pendekatan lebih berhati-hati dalam menguruskan pasukan.

“Bukan kita tak ada duit, tapi kita lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan. Kita tidak mahu menandatangani pemain tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan,” katanya kepada Football Tribe.

“Setakat ini, hanya Herold Goulon yang kekal. Pemain lain masih dalam proses percubaan. Liga hanya bermula 28 Feb jadi kita masih ada masa.”

Pahang sebelum ini dilaporkan sedang mengalami krisis apabila hanya 15 pemain menyertai sesi latihan di Kuantan selepas ramai pemain utama meninggalkan pasukan tersebut dan dijangka menghadapi kesukaran untuk bersaing musim depan.

Walaupun begitu, Suffian menyasarkan Pahang untuk kekal berdaya saing dengan menduduki empat teratas dalam Liga Super.

“Pasukan lain banyak berbelanja seperti Selangor jadi musim ini saingannya cukup sengit.

“Bagi pihak pengurusan tertinggi Pahang, sudah tentu kita mahu berada di kedudukan terbaik dalam liga.

“Namun pada pandangan saya, Pahang menyasarkan untuk berada pada kedudukan empat teratas liga.”