Malaysia Berita

FAM fokus agenda pemain naturalisasi, ketengah pembangunan akar umbi

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus memberi tumpuan kepada agenda membawa masuk pemain naturalisasi berkualiti tanpa mengetepikan pembangunan pemain muda yang sedia ada.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ini bagi meningkatkan lagi standard skuad kebangsaan yang semakin meningkat selepas berjaya menundukkan Indonesia dua kali serta Thailand dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pemain seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan La’vere Corbin Ong dilihat banyak membantu meningkatkan tahap skuad kebangsaan, selain daripada kehadiran pemain muda tempatan seperti Safawi Rasid, Syahmi Safari, Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad.

“Agenda berterusan ialah memastikan projek naturalisasi yang menjadi antara usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam melonjakkan standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program pembangunan yang sedia ada,” kata Hamidin menerusi laman rasmi FAM.

“FAM juga akan terus memperbaiki susun atur urus tadbir dan jalinan kerjasama dengan pemegang taruh lebih diperkukuhkan termasuk penambahbaikan untuk memudahkan penyokong menonton perlawanan dengan lebih selesa.”

Sepanjang tahun 2019, FAM melancarkan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Piagam Suparimau bagi pembangunan akar umbi serta pengenalan DNA Bolasepak Malaysia.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe juga berjaya meningkatkan kedudukan ranking FIFA daripada tangga ke-167 dunia kepada 154 pada hujung tahun.