Liga Super Malaysia Berita

Pahang dalam krisis

Kebanyakan pasukan Liga Super sudah pun menandatangani dan mengumumkan barisan pemain bagi musim 2020, namun perkara yang sama belum berlaku di Pahang.

Malah, dilaporkan seramai 15 pemain sahaja yang sedang menjalani latihan di Kuantan ketika ini.

Herold Goulon satu-satunya pemain import yang kekal di Pahang manakala Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi dilepaskan.

Safuwan Baharudin yang turut dilepaskan, sudah pun menyertai Selangor.

Beberapa pemain tempatan juga dilepaskan termasuklah Norshahrul Idlan Talaha, Zubir Azmi, R Kogileswaran, Salomon Raj, Afif Amiruddin, Remezey Che Ros dan Wafieyuddin Shamsudin.

Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh juga dilaporkan bakal berpindah, namun mereka kekal untuk satu musim lagi.

Jurulatih Dollah Salleh yang gagal memenangi sebarang piala juga hampir dilepaskan, namun beliau tetap kekal pada musim 2020.

Menurut laporan NST, Pahang dipercayai sedang menghadapi masalah kewangan untuk bersaing musim depan.

“Pahang mempunyai 15 orang pemain sahaja ketika ini kerana masih menunggu pengesahan bajet untuk musim depan.

“Kalau ikutkan, sudah agak terlambat sedangkan kebanyakan pemain sudah pun mempunyai pasukan masing-masing.

“Jika tidak, Pahang mungkin akan menyerap masuk pemain Piala Presiden untuk musim depan,” kata sumber tersebut.

Walaupun gagal meraih sebarang piala, Pahang menamatkan saingan liga di tangga kedua dan merupakan semi finalis dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Adakah krisis Pahang 2016 bakal berulang?