Liga Super Malaysia Berita

Isu pemain AMD: Sistem draf perlu diperkenal di Liga Malaysia

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin mencadangkan supaya sistem draf diperkenal bagi menempatkan para pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam pasukan liga pada masa akan datang.

Katanya, sistem itu akan memastikan ketelusan dan peluang sama rata untuk semua pasukan dalam liga bagi mendapatkan pelatih lepasan AMD.

“Sistem draf ini digunakan di Amerika Syarikat dalam sukan bola keranjang dan American Football,” katanya kepada Arena Metro.

“Ia boleh dicuba kepada semua pasukan dalam liga. Semua pasukan dipanggil pada hari akhir pemain di AMD dan dibuat sistem undian ke mana mereka perlu pergi.

“Barulah semua pemain mempunyai peluang hampir sama dan ejen atau pasukan tidak boleh melobi secara pintu belakang.”

Sulaiman memberikan contoh, sekiranya terdapat 30 pelatih dari AMD, semua perlu diklasifikasikan mengikut nombor.

“Tidak semestinya pemain nombor satu akan pergi ke pasukan besar, tapi semua pasukan ada peluang sama. Jadi peluang pemain ini bermain mungkin terjamin. Akhir sekali semuanya tertakluk pada pemain itu sendiri.

“Siapa yang datang hanya untuk duit, mereka akan dapat duit tapi bola sepak tidak ke mana. Biar wang datang lambat tapi perkembangan dalam bola sepak berjalan baik.”

Namun beliau berpendapat Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai hak untuk mendapatkan pemain AMD kerana mereka mempunyai kewangan kukuh.