Liga Super Malaysia Berita

Empat pasukan feeder: UKM FC berisiko tinggi untuk tersingkir

Dengan penyertaan Selangor II dan Perak II dalam Liga Perdana, ia boleh dilihat sebagai satu cabaran kepada pasukan-pasukan lain untuk kekal dalam liga.

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin menganggap disebabkan pasukan feeder tidak akan layak ke Liga Super mahupun tersingkir ke Liga M3, ia akan menjadi tekanan tambahan kepada pasukan lain yang terpaksa bersaing dengan pasukan yang memiliki sumber kewangan yang kukuh.

“Lihat sahaja pasukan Kuala Lumpur, mereka berbelanja besar pada tahun ini untuk menguatkan pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.

“Feeder club pula memang kewujudan mereka untuk tujuan pembangunan bola sepak dan mempersiapkan pemain untuk pasukan utama tetapi ada pasukan ambil sampai empat pemain import.

“Jadi tiada jalan mudah buat UKM FC selain mendapatkan keputusan baik bagi setiap perlawanan. Sekurang-kurangnya kita akan berusaha untuk kekal di kelompok sembilan pasukan terbaik bagi mengelakkan disingkirkan.”

Sulaiman berkata, UKM hanya menyasarkan layak ke Piala Malaysia selepas dua kali menjadi naib juara dalam Piala Cabaran.

“Tahun ini kalau boleh kita tidak mahu lagi bermain di Piala Cabaran, kita sasarkan beraksi di Piala Malaysia. Sudah pasti ia bukan suatu tugas yang mudah kerana pasukan-pasukan di Liga Premier telah mempersiapkan pasukan mereka untuk menjadi juara liga dan mahu merebut kejuaraan Piala Malaysia.

“Kita telah bawa naik beberapa pemain baharu ke pasukan utama bagi memantapkan pasukan UKM. Kita yakin dengan pendedahan yang diberikan ini akan mematangkan pemain ini untuk menjadi pemain berkualiti.

“Buat masa sekarang pihak pengurusan masih menyelesaikan urusan pentadbiran, dana dan persiapan perbelanjaan kewangan untuk satu musim. Saya dimaklumkan ia akan diumumkan pada 18 Disember ini.”

UKM merupakan satu-satunya pasukan universiti yang bertanding di Liga Perdana selepas UiTM layak beraksi di Liga Super bagi musim depan.

Mereka akan menghadapi cabaran getir apabila perlu bersaing dengan Kelantan, Kelantan United, Kuala Lumpur, Kuching FA, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak United untuk kekal di saingan liga.

Musim lalu, mereka sekadar menamatkan saingan di tangga kelapan liga.