Liga Super Malaysia Berita

Kuala Lumpur juga mahu tubuh pasukan feeder

Kuala Lumpur menjadi pasukan terbaharu yang berminat untuk menubuhkan pasukan kedua pada masa akan datang.

Menurut laporan Arena Metro, Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa menganggap skuad The City Boys sentiasa menghasilkan pemain muda yang berkualiti namun pada masa yang sama enggan melihat bakat mereka disia-siakan kerana terpaksa memanaskan bangku simpanan bagi memberi laluan kepada pemain lebih berpengalaman.

“Kami tidak mahu lagi bergantung kepada pemain luar, sebab itu kami mengambil inisiatif mahu menubuhkan pasukan feeder yang berperanan membangunkan pemain muda dengan lebih sistematik.

“Ada antara pemain muda yang berbakat ketika ini tidak mendapat pendedahan secukupnya sekali gus menganggu perkembangan mereka terutama untuk beraksi lebih cemerlang.”

Tambah Nokman, pihaknya akan berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi mendapatkan nasihat berkaitan penubuhan kelab pembangunan.

“Kami perlu mengorak langkah dengan meningkatkan lagi program pembangunan akar umbi bagi memastikan lebih ramai pemain berkebolehan membarisi skuad utama pada masa akan datang.”

Hasrat KL untuk mengetengahkan bakat tempatan adalah satu usaha yang dipersetujui semua pihak namun jika Kuala Lumpur II ditubuhkan, adakah mereka akan beraksi di Liga Premier juga?

Bukankah lebih bagus mengetengahkan bakat pemain muda di skuad utama KL, berbanding menubuhkan sebuah lagi pasukan berbeza semata-mata untuk memberikan mereka bermain dalam liga kompetitif?

Setakat ini, Liga Premier mempunyai empat pasukan feeder, JDT II, Terengganu II, Selangor II dan Perak II.

Jika KL naik ke Liga Super musim depan, KL II mungkin akan ditubuhkan selepas itu dan menjadi pasukan feeder kelima di Liga Premier.