Kolum Eropah

[VIDEO] Chelsea intai beberapa pemain

Berita baik buat pasukan Chelsea selepas hukuman yang dikenakan iaitu pengharaman untuk membeli pemain pada jendela perpindahan telah ditarik balik. Ini bermakna The Blues kini dibenarkan untuk kembali aktif membeli pemain pada musim jendela perpindahan yang bakal tiba menjelang perayaan Hari Natal.

Seperti yang sedia maklum, Chelsea bukanlah satu pasukan yang mengalami masalah kewangan untuk mendapatkan mana-mana pemain. Malah, Chelsea antara pasukan terawal dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang mengamalkan pembelian pemain secara besar-besaran. Jika diputar kembali masa, tahun 2003 merupakan saksi kepada fenomena yang dibawa oleh seorang jutawan dari Russia, Roman Abramovich.

Antara pemain bintang yang pernah dibawa masuk ke Stamford Bridge ialah Arjenn Robben, Damien Duff, Andriy Shevchenko, Petr Cech, Didier Drogba, Michael Essien, Michael Ballack, dan Joe Cole. Hasil yang diperolehi selepas melaksanakan transaksi yang bernilai ratusan juta juga berbaloi selepas merangkual kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2004-2005.

Lantas, ada beberapa laporan yang mengatakan bahawa skuad bimbingan Frank Lampard sedang mengintai beberapa orang pemain untuk dibawa masuk bertujuan untuk menguatkan barisan  yang didominasi pemain muda berbakat seperti Mason Mount, Tammy Abraham, Fikayo Tomori, dan Reece James.

Hakikat yang perlu diterima oleh para penyokong sejati skuad The Blues adalah kesukaran dalam mencari pengganti bekas pemain bintang, Eden Hazard yang kini berkhidmat bersama Real Madrid. Walaupun pemain sayap antarabangsa Brazil, Willian diberikan jersi pasukan bernombor 10 tetapi pemain itu masih gagal menunjukkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Oleh yang demikian, pemain-pemain seperti Jadon Sancho, Wilfried Zaha, dan Moussa Dembele dikatakan berada dalam radar pasukan Chelsea. Pemain sayap Chelsea, Christian Pulisic juga masih bergelut untuk mengekalkan persembahan bermutu pada setiap perlawanan walaupun telah menjaringkan lima gol setakat ini.

Prestasi yo-yo yang dipamerkan Chelsea juga menjadi tanda tanya adakah mereka masih berminat untuk bersaing dalam liga dan kejohanan yang lain atau sebaliknya. Sebelum ini, Chelsea membuktikan skuad muda yang dipertaruhkan Frank Lampard itu mampu memberi ancaman kepada pasukan lain selepas mencatat enam kemenangan berturut-turut dalam liga.