Liga Super Malaysia Kolum

Mengapa Perak perlu dapatkan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi

Setelah kehilangan tonggak utama Brendan Gan, Perak seharusnya mempertimbangkan untuk mengambil Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi supaya dapat memberi saingan yang lebih sengit pada musim akan datang.

Perak mempunyai sejarah bagaimana mereka tidak mempunyai penyerang yang berkaliber.

Musim 2019, Careca hanya menjaringkan 7 gol manakala Ronaldo pula 8 gol.

Ketiadaan penyerang import yang berkualiti memberi kesan kepada kedudukan Perak di Liga Super.

Kali terakhir mereka mempunyai penyerang bagus adalah Gilmar yang menjaringkan 21 gol dalam semua pertandingan, dan ketika itu Perak menamatkan musim di tempat kedua dalam Liga Super pada 2018.

Bagi musim 2020, hanya penyerang Careca dan pemain tengah Leandro dos Santos yang dikekalkan dalam skuad.

Jika tidak membawa masuk pemain import berkualiti, Perak mungkin akan bergelut untuk kekal di Liga Super musim depan.

Walaupun De Paula dan Liridon dilihat menjalani latihan di JDT, juara liga itu sendiri sudah mempunyai begitu ramai pemain import berkualiti tinggi, sama ada di JDT ataupun JDTII, sebab itu mereka mungkin tak perlukan pemain import baharu pun.

Situasi yang sama juga berlaku kepada pasukan-pasukan lain.

Pahang sudah mempunyai Lazarus Kaimbi, walaupun mereka telah melepaskan Dickson Nwakaeme.

Selangor pula membuat keputusan untuk mengekalkan semua pemain importnya termasuk Rufino Segovia yang mengalami kecederaan jangka panjang.

Kedah adalah satu-satunya pasukan paling pantas bertindak menandatangani dua import penyerang berkualiti iaitu Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Malah Terengganu juga sudah menandatangani Dominique da Sylva bagi menggantikan tempat Kipre Tchetche.

Jadi inilah peluang untuk Perak mendapatkan De Paula selaku penjaring terbanyak Kuala Lumpur dan Liridon Krasniqi.

Untuk mendapatkan Liridon mungkin sukar memandangkan pemain dari Kosovo itu dilihat cukup berminat untuk beraksi di JDT.

Tetapi Guilherme de Paula mungkin mahu bermain di sebuah pasukan yang boleh memberikannya peluang untuk menjadi pemain utama.

Jika di JDT, De Paula perlu bersaing dengan Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera.

Segala-galanya terpulang kepada pengurusan Perak sama ada mahu menjadi sebuah pasukan yang sentiasa bersaing dengan JDT dan beraksi di Liga Juara-juara Asia ataupun menjadi sebuah pasukan yang perlu menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana.