Malaysia Berita

Cheng Hoe cari ramuan terbaik

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan melayan kunjungan Tajikistan pada perlawanan Antarabangsa Tier 1 malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perlawanan ini adalah persiapan menjelang pertemuan menentang Thailand pada Khamis depan.

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe berkata skuad kebangsaan bertuah kerana dapat bertemu dengan pasukan yang berada di ranking yang lebih baik. Ianya bukan mudah seperti yang disangka. 

Tambahnya lagi komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain dalam latihan sangat baik. Namun, pemain masih perlu meningkatkan prestasi masing-masing. Perlawanan menentang Tajikistan adalah medan terbaik sebagai persiapan sebelum pertembungan dengan Thailand bagi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

‘Kita perlu bermain dengan pasukan yang lebih baik untuk mendapat keyakinan. Kita juga mampu untuk belajar daripada teknikal dan taktikal serta intensiti permainan’, ujarnya lagi.

Tan Cheng Hoe masih lagi dalam proses mencari kombinasi pemain untuk menyediakan ramuan terbaik bagi perlawanan menentang Thailand. Selain itu, barisan jurulatih ingin melihat cara dan corak permainan serta keserasian pemain dalam aksi menentang Tajikistan.

‘Tajikistan merupakan pasukan yang baik. Mereka menang menentang Kyrgyzstan dan memperoleh enam mata daripada tiga perlawanan. Mereka juga memiliki kelebihan dari segi fizikal dan taktikal. Saya harap pemain-pemain Malaysia tidak berasa tertekan dan bermain sebagai satu unit’, tegasnya dalam memberikan pandangan tentang pasukanTajikistan.

Kehadiran Baddrol Bakhtiar dan Afiq Fazail akan membantu di bahagian tengah skuad Harimau Malaya. Jentera tengah Malaysia beraksi dengan kurang baik ketika bertemu Vietnam. Kembalinya pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih akan membantu bahagian tengah dalam mencipta serangan.