Malaysia Berita

Irfan sertai skuad Sukan SEA

Pemain pertahanan Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria telah mengisi salah satu slot pemain lebih umur bagi menguatkan skuad B-22 kebangsaan.

Irfan merupakan salah seorang pemain yang tersenarai dibawah kendalian Tan Cheng Hoe bagi skuad Harimau Malaya pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang lepas menentang Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Vietnam.

Namun begitu, namanya telah digugurkan dan diletakkan dalam senarai bersedia untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia serta perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Tajikistan pada November ini.

Kehadiran Irfan yang mempunyai pengalaman bersama skuad senior sedikit sebanyak mampu untuk membantu pemain muda terutama di bahagian pertahanan. 

Sebelum ini, pengendali utama skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee telah menyenaraikan 28 orang pemain yang akan menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA 2019 yang akan diadakan di Manila, Filipina pada 25 November sehingga 10 Disember depan.

Satu lagi slot pemain lebih umur akan diumumkan sehari selepas perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand iaitu pada 15 November.  

Selain itu, baki lima lagi pemain hanya akan melapor diri pada 13 November 2019 selepas tugasan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Phnom Penh, Kemboja bersama skuad B-18 kebangsaan kendalian Brad Maloney. Lima pemain tersebut adalah Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Azam Azmi Murad.