Eropah Berita

[VIDEO] FA England tarik balik kad merah Son

Persatuan Bola Sepak England (FA) telah menarik balik kad merah yang dilayangkan kepada pemain Tottenham Hotspur, Heung Min Son. Ini juga bermakna penggantungan tiga perlawanan tidak akan terpakai buat pemain antarabangsa Korea Selatan itu dan dia dibenarkan untuk beraksi pada perlawanan yang akan datang.

Menurut laporan The Star, Son dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain tengah Everton, Andre Gomes yang turut mengalami kecederaan serius di bahagian buku lali kanan. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 selepas pemain gantian Everton, Cenk Tosun memadam gol pendahuluan Dele Alli.

Terdahulu, Spurs telah membuat rayuan kepada pihak FA dan rayuan diterima dengan keputusan untuk menarik balik kad merah yang dilayangkan. 

Pengadil perlawanan, Martin Atkinson pada mulanya hanya melayangkan kad kuning. Namun selepas campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR), Atkinson melayangkan kad merah kerana Son mendatangkan bahaya kepada pemain lawan.

Dalam perkembangan lain, Andre Gomes telah selamat menjalani pembedahan pada Isnin lalu dan dijangka akan kembali pulih untuk beraksi bersama pasukan utama.

Spurs akan menjadi tuan rumah kepada Sheffield United bagi perlawanan liga Sabtu ini.