Eropah Berita

Tadic kritik pengadil

Chelsea bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Ajax Amsterdam 4-4 dalam perlawanan keempat saingan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Pertembungan dua pasukan yang menggunakan majoriti pemain muda ini begitu menarik sekali. Sebelum ini, Chelsea menang tipis 1-0 hasil jaringan Michy Batshuayi di minit akhir perlawanan.

https://twitter.com/magicalcantara/status/1191866122582319106

Ajax sebagai pelawat di Stamford Bridge bermula garang dengan gol seawal minit kedua apabila Tammy Abraham tertampan bola ke gawang sendiri. Ini merupakan kali kedua Abraham menjaringkan gol sendiri selepas kali terakhir berlaku pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Wolverhampton Wanderers.

Anak buah Frank Lampard lantas bangkit dengan gol penyamaan menerusi sepakan penalti pemain antarabangsa Itali, Jorginho. Ajax kembali di depan dengan memperoleh dua jaringan melalui Quincy Promes dan jaringan sendiri penjaga gawang Chelsea, Kepa Arrizabalaga yang gagal mengeluarkan bola berbahaya hasil tendangan Hakim Ziyech.

Skuad bimbingan Erik ten Hag terus selesa selepas Donny van de Beek menambah gol keempat pada awal babak kedua. Ketua pasukan Chelsea, Cesar Azpilicueta menjaringkan gol kedua The Blues dengan satu tampanan mudah dihadapan gol.

Segala-galanya berubah buat Ajax apabila pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada dua pertahanan tengah mereka Daley Blind dan Joel Veltman serta menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah. Kehilangan dua pemain begitu memberi kesan kepada Ajax yang akhirnya diikat 4-4 selepas Chelsea memperoleh dua lagi gol daripada Jorginho dan Reece James.

Penyerang utama Ajax, Dusan Tadic mengkritik pengadil dengan mengatakan dia telah ‘mencuri’ segala-galanya. ‘Saya patut bercakap mengenai permainan pasukan saya. Kekecewaan yang sangat besar. Kami bermain dengan cemerlang. Tetapi seorang lelaki (pengadil) telah mencuri segala-galanya daripada kami’, katanya memberi respon sejurus selepas tamat perlawanan.

Tambahnya lagi kad merah yang dilayangkan kepada dua pemain pertahanan Ajax itu tidak wajar dan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea juga tidak tepat. ‘Saya tidak pernah melihat dalam hidup saya, tiga hukuman diberikan dalam satu masa oleh pengadil. Tidak pernah berlaku sebelum ini’, ujar pemain antarabangsa Serbia itu.