Eropah Berita

Maradona masih sihat

Pemain legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona menegaskan beliau masih sihat dan menjalani kehidupan seperti biasa. Maradona membuat satu hantaran video di laman sosial Instagramnya untuk menjawab segala persoalan.

Berdasarkan laporan Sky News, ianya mula menjadi persoalan selepas anak perempuan Maradona, Gianinna yang menyatakan bahawa bapanya ‘sedang mati dari dalam’. 

Dalam video yang berdurasi hampir dua minit itu, Maradona berkata dia tidur secara aman kerana dia juga bekerja. ‘Saya tidak pasti apa yang dia (Gianinna) cuba sampaikan atau nyatakan. Apa yang saya tahu, apabila umur meningkat dan semakin tua, orang akan lebih risaukan apa yang akan ditinggalkan berbanding apa yang telah dilakukan’, katanya lagi.

‘Saya sudah maklumkan kepada semua yang saya tidak akan meninggalkan apa-apa buat mereka. Segala apa yang telah saya capai, akan saya derma kepada orang lain. Saya masih sihat. Sangat sihat’, tegasnya yang juga merupakan ketua jurulatih pasukan Gimnasia La Plata.

Maradona mempunyai rekod kesihatan yang kurang baik sebelum ini. Beliau juga baru sahaja menjalani pembedahan di bahagian lutut pada Julai yang lepas. 

Dalam pada itu, Maradona baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-59 pada 30 Oktober yang lalu. Bekas pemenang Piala Dunia 1986 itu merupakan seorang ikon bola sepak yang terkenal pada suatu masa dahulu kerana mempamerkan permainan berkualiti dan mampu menghasilkan gol walaupun memiliki tubuh yang kecil.