Kolum Eropah

Siapa bakal ikut jejak Kovac?

Kegawatan situasi dalam beberapa pasukan bola sepak eropah sedikit sebanyak menjadi topik perbualan para peminat bola sepak. Pasukan gergasi seperti Barcelona, Tottenham Hotspur, Manchester United, dan Arsenal ternyata mengalami masalah tersebut.

Aksi longlai dan terumbang-ambing pasukan besar ini telah berlarutan dalam beberapa siri perlawanan. Pada awal minggu ini, pengendali Bayern Munich telah meninggalkan pasukan selepas pasukannya dimalukan Eintracht Frankfurt 5-1 dalam saingan Bundesliga hujung minggu lalu.

Persoalan disini adalah siapa yang bakal mengikut jejak langkah Niko Kovac? Disenaraikan disini tiga calon yang nasib mereka dikatakan berada dihujung tanduk.

 

1.Mauricio Pochettino

(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Ketua jurulatih Spurs ini menghadapi masalah besar apabila pasukan kendaliannya gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan liga sebelum ini. Kali terakhir mereka memungut tiga mata adalah ketika membenam Crystal Palace 4-0. 

Lebih memalukan apabila Spurs menanggung kekalahan 7-2 keatas Bayern Munich  di stadium baru dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah peringkat kumpulan. Skuad bimbingan Pochettino turut terkandas pada pusingan ketiga Piala Carabao selepas dikejutkan Colchester United menerusi penentuan sepakan penalti.

Prestasi semasa Spurs berada di tahap yang membimbangkan. Para penyokong Spurs pastinya mengharapkan sesuatu yang lebih baik kerana Spurs merupakan finalis Liga Juara-Juara Eropah pada musim lepas. Namun begitu, Spurs masih tidak menunjukkan aksi positif walaupun dengan kehadiran pemain baru seperti Tanguy Ndombele dan Giovani Lo Celso.

 

2.Unai Emery

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Bekas pengendali Paris Saint Germain (PSG) ini masih belum menyesuaikan diri di kem Arsenal sejak musim lepas. Majoriti pemerhati bola sepak berpendapat bahawa tahun pertama merupakan masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan. 

Tambahan pula, kemasukkan pemain-pemain baru juga perlukan sedikit masa untuk keserasian bersama satu pasukan. Unai gagal membawa Arsenal ke kancah Liga Juara-Juara Eropah pada musim lepas apabila The Gunners sekadar menghuni tangga kelima liga. Mereka juga tewas pada perlawanan akhir Liga Eropah menentang Chelsea.

Musim ini, perkara yang sama masih berulang. Arsenal gagal mempamerkan corak permainan yang menarik. Malah, mereka hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga. Isu yang lebih kritikal ialah mentaliti para pemain Arsenal yang dilihat terkebelakang.

Skuad bimbingan Unai ini mendahului perlawanan dalam dua saingan liga menentang Crystal Palace dan Wolverhampton Wanderers. Namun, mereka gagal untuk mempertahankan gol tersebut dan akhirnya terus keciciran mata. Lebih malang, apabila isu yang melibatkan ketua pasukan, Granit Xhaka pada minggu lepas kian memuncak sehingga posisi pemain tengah Switzerland itu sebagai kapten pasukan telah ditarik balik.

 

3.Ole Gunnar Solksjaer

(Photo by Serena Taylor/Newcastle United via Getty Images)

Diawal kehadiran bekas penyerang Manchester United ini, ramai menyatakan Solksjaer merupakan pengganti yang sesuai kepada Jose Mourinho dan akan membawa United ke tahap yang lebih baik. Hakikatnya, The Red Devils tetap goyah dan mengakhiri musim lepas di tempat keenam liga.

Permulaan yang baik pada musim ini dengan membenam Chelsea 4-0 di Old Trafford. Tetapi, segala-galanya berubah apabila mereka kehilangan khidmat pemain penting seperti Paul Pogba dan Anthony Martial. Kehadiran pertahanan termahal dunia, Harry Maguire sedikit pun tidak membantu pasukan. 

Selain itu, isu sepakan penalti juga penting untuk diberi perhatian. Berdasarkan rekod dan statistik, United gagal menyempurnakan empat daripada enam tendangan penalti yang diperolehi dalam saingan liga pada musim ini.

Lebih parah lagi, United telah mencatat empat kekalahan daripada 11 perlawanan liga. Anak buah Solksjaer juga bergelut dalam aksi Liga Eropah dan baru menjaringkan dua gol daripada tiga perlawanan. Rekod serangan yang begitu membimbangkan buat pasukan yang mempunyai sejarah dan pencapaian hebat sebelum ini.