Tottenham Hotspur hampa apabila hanya mampu membawa pulang satu mata dari Stadium Goodison Park setelah gol Cenk Tosun memadam jaringan awal Dele Alli awal pagi tadi.
Dalam pada itu, pengendali Tottenham Hostpur, Mauricio Pochettino mendedahkan tindakan ketua pasukan Everton, Seamus Coleman yang cuba mententeramkan Heung Min Son di bilik persalinan Spurs sejurus selepas tamat perlawanan, lapor Caughtoffside.com .
‘Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua pasukan Everton (Coleman). Dia datang ke bilik persalinan kami untuk menenangkan Son’, katanya lagi.
Penyerang dari Korea Selatan itu dilayangkan kad merah setelah terjahan keras keatas pemain tengah Everton, Andre Gomes yang turut menyaksikan pemain itu diusung keluar dan dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.
Tindakan pemain itu perlu dipuji kerana dia cuba untuk menenangkan Son yang kelihatan begitu kecewa dengan insiden tersebut. Seperti yang diketahui umum, Coleman juga pernah menghadapi kecederaan yang mengerikan ketika perlawanan diantara Ireland dan Wales dua tahun lepas.
Dalam pada itu, pemain tengah Spurs, Dele Alli dalam satu temubual selepas perlawanan berkata Son masih belum berhenti menangis di dalam bilik persalinan dan dia begitu kecewa dengan tindakannya keatas Andre Gomes.
Andre Gomes dijadualkan untuk menjalani pembedahan ekoran kecederaan di bahagian buku lali kanannya pada hari Isnin menurut kenyataan rasmi daripada Everton.