Paris Saint Germain (PSG) terus mendominasi Ligue 1 Perancis setelah menumbangkan musuh setempat Olympique Marseille 4-0 awal pagi semalam. Kemenangan tersebut turut melebarkan jarak PSG sebagai pendahulu liga dengan kelebihan lapan mata.
Empat gol yang terhasil pada babak pertama menunjukkan betapa kualiti yang ada pada PSG. Skuad kendalian Thomas Tuchel sekali lagi turun tanpa kelibat bintang Brazil, Neymar yang masih belum pulih daripada kecederaan.
Walaubagaimanapun, kehadiran Mauro Icardi yang perlahan-lahan memainkan peranan sebagai mesin gol buat PSG sedikit sebanyak melegakan para peminat PSG. Trio yang diturunkan iaitu Mauro Icardi, Angel Di Maria, dan Kylian Mbappe begitu menyerlah dengan memanfaatkan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.
Selepas aksi cemerlang ketika saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang Club Brugge, Di Maria sekali lagi mempamerkan corak permainan berkualiti dengan menghasilkan tiga bantuan gol. Kylian Mbappe pula menyumbang dua gol bagi melengkapkan kemenangan bergaya buat PSG.
Edinson Cavani dimasukkan pada minit ke-71 setelah lama direhatkan. Persembahan cemerlang Icardi sebenarnya memberikan saingan sihat buat Cavani untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Trio yang dimiliki PSG bakal menjadi tumpuan di saingan Eropah jika mereka mampu mengekalkan kualiti permainan.