2019 ibarat tuah buat penyerang Barcelona, Lionel Messi. Jika sebelum ini Messi telah dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia, kali ini Messi menerima Anugerah Kasut Emas.
Anugerah Kasut Emas merupakan pengiktirafan kepada penjaring gol terbanyak bagi satu musim. Messi telah menjaringkan 36 gol daripada 34 penampilan, jauh meninggalkan dua pencabar terdekat iaitu Karim Benzema dan Luis Suarez yang sama-sama berkongsi 21 gol.
Lebih mencuri perhatian apabila Anugerah Kasut Emas tersebut adalah yang keenam dalam koleksi Messi. Sebelum ini bintang Argentina telah menggondol anugerah yang sama pada musim 2009-2010, 2011-2012, 2012-2013, 2016-2017, dan 2017-2018.
Messi telah menghasilkan 44 jaringan hatrik bersama Barcelona. Kualiti gol jaringan Messi bukan di tahap biasa-biasa. Enam gol jaringannya pernah tercalon dalam senarai akhir Anugerah Puskas sejak 2009. Ianya membuktikan betapa gol jaringan pemain bernama Messi ini sememangnya luar biasa.