Eropah Berita

Alexander Arnold cipta rekod

Trent Alexander-Arnold merupakan nama yang semakin meningkat naik dalam dunia bola sepak. Bermain di posisi bek kanan, Alexander-Arnold juga adalah salah seorang pemain penting buat Liverpool yang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada musim lepas.

Sebelum memulakan karier bersama Liverpool pada musim 2016-2017, Alexander-Arnold merupakan pemain akademi Liverpool sejak tahun 2004.

Pemain berusia 21 tahun ini turut tersenarai dalam pasukan kebangsaan berikutan prestasi cemerlangnya bersama Liverpool. Satu gol dan dua bantuan telah disumbangkan oleh pemain ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Alexander-Arnold telah menerima Anugerah Guinness World Record atas pencapaian mencipta 12 bantuan gol dalam satu musim. Pemain bek kanan ini merupakan pemain posisi pertahanan pertama dalam Liga Perdana Inggeris yang mencatat jumlah bantuan gol terbanyak.

Kualiti yang ada pada bek kanan Liverpool ini tidak mampu disangkal lagi. Selain kebolehan menghasilkan hantaran lintang berbahaya, Alexander-Arnold juga mampu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. 

Gol pertamanya pada musim ini hadir melalui satu sepakan percuma ketika aksi menentang Chelsea di Stadium Stamford Bridge. Sentuhan istimewa kaki kanannya semakin lama semakin berbisa dan menjadi ancaman terhebat buat mana-mana pemain pasukan lawan.

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Namun, Alexander-Arnold perlu bersaing dengan Kieran Trippier untuk mendapatkan tempat dalam skuad England. Dia tidak diturunkan pada dua perlawanan Kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria.