Liga Super Malaysia Kolum

Eye On The Ball angkat martabat warga OKU

Pada sabtu lepas telah berlangsung aktiviti Eye On The Ball: Bola Buta Challenge  yang dianjurkan oleh The Star Rage di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Aktiviti yang bermula seawal jam lapan pagi itu bertujuan untuk memberikan kesedaran  kepada masyarakat umum berkenaan komuniti bola sepak di Malaysia khususnya pasukan kebangsaan Harimau Buta.

Cabaran Bola Buta ini diadakan secara percuma dan terbuka untuk masyarakat umum. Terdapat juga beberapa selebriti yang turut sama memeriahkan majlis seperti Bunkface, Kyoto Protocol, Harith Iskander, Ummi Nazeera, dan Jinnyboy. Bersempena dengan Bulan Sukan Negara, Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Syed Saddiq Syed Abd Rahman juga hadir memberi sokongan. 

Sukan bola sepak bukanlah satu sukan yang mudah untuk dimainkan. Apabila wujudnya usaha untuk membangunkan dan meluaskan skop sukan ini kepada warga Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, maka ianya perlu diteruskan dan diiktiraf. Jika dalam skuad bola sepak kebangsaan kita dikenali sebagai Harimau Malaya, tetapi bagi pasukan bola sepak Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan kita dikenali sebagai Harimau Buta.

mStar

Dalam pada itu, acara ini dijalankan bersempena tayangan Eye On The Ball yang merupakan filem pertama terbitan R.AGE. Filem ini telah memenangi anugerah dan akan ditayangkan di pawagam pada Disember depan.

Secara ringkasnya, filem tersebut berkisarkan tentang inspirasi Harimau Buta dan segala dugaan yang dihadapi demi ingin layak ke Piala Dunia bola sepak buta. Filem arahan Cheh Yih Wen itu telah ditayangkan di peringkat antarabangsa iaitu di Aperture Asia & Pacific Film Festival, London.

Di samping itu, filem ini juga secara tidak langsung membantu dalam mengutip dana bagi pembangunan bola sepak buta serta memartabatkan sukan ini di Malaysia. 

Anda boleh menonton trailer filem Eye On The Ball di pautan Youtube.