Kolum Eropah

Suarez ‘gigit’ Inter

Selepas mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan, akhirnya rekod bersih ini tercalar di tangan Barcelona. Skuad bimbingan Antonio Conte kalah tipis 2-1 pada perlawanan kumpulan F awal pagi tadi.

Inter Milan yang memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Slavia Praha terlebih dahulu mendapat jaringan melalui Lautaro Martinez seawal minit kedua perlawanan.

Walaubagaimanapun, penyerang antarabangsa Uruguay, Luis Suarez memadam gol awal tersebut dengan satu jaringan cantik pada minit ke-58 sebelum menghadiahkan gol kemenangan pada minit ke-84.

Barcelona dilihat menguasai perlawanan dengan penguasaan bola sebanyak 66% serta mencipta 17 percubaan berbanding Inter yang hanya menghasilkan 11 percubaan. Corak permainan cantik dan tersusun yang dipamerkan Inter seakan-akan menyerupai corak permainan Barcelona.

Perlawanan ini juga membuktikan ketajaman penyudah dan pengalaman pemain menjadi tembok pemisah diantara kedua-dua pasukan. Inter yang kini mendahului Liga Serie A dengan mencatat enam kemenangan daripada enam perlawanan semakin menunjukkan kualiti yang baik. Menjelang pertemuan menentang Juventus pada isnin depan, pastinya Conte perlu menyiapkan pasukan terbaik yang dimiliki.

Bertandang ke Camp Nou tanpa penyerang berbisa Belgium, Romelu Lukaku sebenarnya sedikit sebanyak memberi impak kepada barisan serangan. Namun, ianya memberi peluang kepada Alexis Sanchez untuk menggamit memori dan beraksi menentang kelab lamanya.

(Photo by Denis Doyle – UEFA/UEFA via Getty Images)

Di samping itu, skuad Ernesto Valverde kembali mendapat sentuhan pemain terbaik dunia, Lionel Messi yang menghadapi kecederaan sebelum ini. Tiga serangkai serangan Barcelona yang diketuai Luis Suarez, Antoine Griezmann, dan Lionel Messi begitu mengganggu barisan pertahanan Inter. Itu juga menjadi penyebab utama mengapa penjaga gol Inter, Samir Handanovic dipaksa untuk berhempas pulas untuk mengelakkan gawang dibolosi.