Malaysia Kolum

Kualiti pengadil Malaysia teruk?

Semalam telah berlangsung satu sesi sidang media Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengadil FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya. Pengerusinya, ACP (B) Md Dali Wahid yang juga Exco FAM hadir bersama-sama dua ahli jawatankuasa berkenaan iaitu C Ravichandran dan Widya Habibah Shamsuri.

Mesyuarat Khas itu diadakan bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan keputusan pengadil pada dua aksi Suku Akhir Kedua Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) lwn Terengganu FC dan Selangor lwn Perak, baru-baru ini.

Kedua-dua perlawanan terbabit membawa isu yang sama tapi pada situasi yang berbeza. Insiden yang berlaku di Larkin yang melibatkan pemain Johor Darul Ta’zim pada minit ke-14 dan 21 yang dikasari oleh pemain Terengganu FC. Bagi insiden yang pertama ini, pengadil perlawanan telah melakukan keputusan yang tepat. Corbin Ong telah dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-14 manakala Safawi Rasid dirempuh pada minit ke-21 yang mana menyumbang satu sepakan percuma yang kemudian diterjemah kepada gol.

Insiden yang berikutnya pula berlaku ketika perlawanan Selangor menentang Perak di Stadium Shah Alam yang mana gol yang dijaringkan Khyril Muhymeen pada minit ke-45 dikatakan ofsaid. ACP (B) Md Dali berkata terdapat kelompongan dan kecuaian yang dilakukan oleh penolong pengadil, tetapi video ulangan tidak membantu secara menyeluruh. Oleh itu, jawatankuasa tidak dapat memuktamadkan adakah bola itu ofsaid atau sebaliknya.

Beliau berkata bahawa kualiti pengadil di Malaysia sebenarnya tidak seteruk yang disangka. Untuk makluman semua, sistem pemarkahan wujud bagi setiap pengadil dan penolong pengadil yang bertugas. Ini bagi menilai prestasi semasa dan kualiti pengadilan yang dilaksanakan.

Menurutnya lagi, beberapa orang pengadil seperti Suhaizi Shukri, Mohd Amirul Izwan Yaacob, dan Razlan Joffri diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila terpilih untuk bertugas pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia. Tambahnya lagi, dua pengadil dari Malaysia telah pun berkhidmat di Liga Timor Leste pada 12 September sehingga 30 September lepas dan dua lagi bakal bertugas dalam Liga Vietnam pada 17 Oktober depan. Ini membuktikan bahawa mutu pengadil dari Malaysia masih di tahap yang baik.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa satu akademi pengadil akan diwujudkan dan pada dua minggu lalu telah berlangsung kursus yang melibatkan 37 orang pelajar UiTM bagi memberi pendedahan awal dan juga sebagai prospek di masa depan.