Kolum Eropah

Salah selamatkan Liverpool

Liverpool yang merupakan penyandang juara eropah mencatat kemenangan pertama semalam setelah menewaskan Red Bull Salzburg 4-3. Ini juga bermakna Liverpool berjaya mengelakkan diri daripada terus keciciran mata setelah tewas mengejut 2-0 di tangan Napoli pada perlawanan pertama.

Perlawanan yang penuh dengan aksi mendebarkan itu menyaksikan tujuh gol terhasil. Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu hampir diikat pasukan dari Austria setelah mereka berjaya menyamakan kedudukan daripada 3-0 kepada 3-3.

Keajaiban seolah-olah bakal tercipta di Anfield, namun penyerang sensasi tuan rumah, Mohamed Salah membatalkan hasrat pelawat dengan menjaringkan gol kemenangan. Trio Liverpool yang dibarisi Sadio Mane, Roberto Firmino, dan Mohamed Salah sekali lagi menjadi kunci kejayaan pasukan bimbingan Jurgen Klopp.

Kedua-dua pasukan merupakan pendahulu liga dalam saingan liga masing-masing. Bezanya hanyalah pada nama para pemain daripada kedua-dua pasukan. Penyerang muda Red Bull Salzburg, Erling Haland terus mempamer aksi memukau dengan menyumbang satu jaringan.

Disebalik kemenangan tipis ini, ada seperkara yang dapat diolah. Ketiadaan penjaga gol utama, Alisson Becker begitu memberi kesan kepada Liverpool dari segi jumlah gol yang telah dibolosi. Sememangnya dalam bola sepak, kemenangan itu lebih penting walau apa jua yang berlaku. Namun begitu, bagi pasukan juara eropah seperti Liverpool, jumlah gol yang dibolosi juga membawa maksud sesuatu yang tidak kena pada barisan pertahanan.  

Berdasarkan statistik perlawanan, kedua-dua pasukan berkongsi percubaan gol yang sama. Lima percubaan tepat dihasilkan tetapi The Reds lebih tajam dari segi penyudah.

Beraksi di gelanggang keramat sememangnya menjadi kelebihan buat Liverpool. Sejarah yang lalu pun telah membuktikan kesahihannya apabila Barcelona tewas 4-0 di Anfield pada musim lepas. Ini juga merupakan sebab utama mengapa Liverpool menguasai bola sehingga 70% sepanjang perlawanan berlangsung.

(Photo by John Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Kemenangan ini bermakna Liverpool dan Red Bull Salzburg berkongsi mata yang sama selepas dua perlawanan dan dipisahkan melalui jumlah jaringan gol yang menjadi milik Red Bull Salzburg setelah mencatat kemenangan besar 6-2 pada perlawanan pertama menentang Genk.