Malaysia Berita

Langkah kreatif MFL pikat peminat muda

Beberapa rakan kongsi Liga Malaysia melihat pendekatan Malaysian Football League (MFL) dalam memajukan industri e-sukan sebagai satu langkah kreatif memikat perhatian generasi muda serta mengikuti peredaran masa.

Antaranya Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Aladdin Mustafa, yang gembira usaha dilakukan MFL lakukan kerjasama bersama Gamesbond sebagai platform terbaharu merancakkan lagi bahang Liga Malaysia.

Malah, beliau mencadangkan semua pemegang taruh Liga Malaysia masing-masing sudah boleh ke depan dalam segmen e-sukan bagi membantu MFL menaikkan industri ini yang kian berkembang pada masa akan datang.

“Pertama kali saya ucapkan tahniah kepada MFL kerana telah melangkah ke depan dalam membangunkan program e-sukan dan langkah menggunakan lapan pemain utama ini sebagai usaha sulung yang cukup menarik perhatian.

“Bagaimanapun, tanggungjawab ini tidak semestinya terletak kepada penganjur liga sahaja iaitu MFL tetapi kepada perlu didokong oleh semua pasukan pada masa akan datang.

“ Semua pasukan sudah platform masing-masing dan mungkin selepas ini, setiap pasukan kena ada inisiatif dapatkan pemain sendiri bagi mewakili mereka di pentas e-sukan.

“Komunikasi dan kerjasama cukup penting kepada semua pasukan bagi membantu MFL, pembangunan e-sukan ini tidak boleh hanya bersifat satu hala sahaja, ” katanya.

Dalam masa sama, Aladdin berkata FAS sedang serius dalam merangka program yang sama membangunkan industri e-sukan khusus di seluruh Selangor kerana melihat potensi besar yang mampu dibangunkan berdasar kedudukan strategik mereka di kawasan Lembah Klang.

Tambahnya, e-sukan ini mempunyai kelompok peminat berbeza berbanding bola sepak dan situasi itu menyebabkan FAS sedia melihat lebih serius kepada industri e-sukan.

“Kami juga dalam visi sama seperti MFL selepas melihat sambutan hangat peminat dalam e-sukan terutama dalam permainan FIFA dan PES.

“FAS kini nak perancangan mahu membuka akademi e-sukan pada masa akan datang dan FAS akan lakukan hebahan tidak lama lagi megenai perkara ini.

“Tanggungjawab FAS bukan sahaja terletak kepada bola sepak padang tetapi kami juga ingin mahu membantu dalam pembangunan e-sukan secara keseluruhan, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Yadzan Mohammad, berharap gabungan e-sukan dalam arena liga bola sepak tempatan mampu menjadi elemen baharu yang menyegarkan agar mampu menjadikan Liga Malaysia lebih dikenali dalam kalangan generasi muda.

“ Bagaimana elemen kita hendak menyatukan kedua-dua gabungan ini perlu difikirkan oleh MFL kerana kita faham tidak mahu ketinggalan namun sukan bola sepak selaku sukan tradisi tidak boleh dipinggirkan.

“Gelombang e-sukan ini cukup besar malah punyai berjuta-juta pengikut di seluruh negara dan saya memuji langkah pertama dibuat MFL kera mampu mengikuti arus perubahan, ” katanya.