Eropah

Juara Eropah tumbang

Juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool ditumbangkan  Napoli di Stadium San Paolo 2-0. Gol sepakan penalti penyerang antarabangsa Belgium, Dries Merten dan jaringan bekas pemain Tottenham Hotspur, Fernando Llorente melengkapkan malam bergaya buat pasukan tuan rumah.

Skuad utama yang diturunkan Jurgen Klopp dilihat bergelut pada separuh masa pertama. Aksi cemerlang penjaga gawang The Reds, Adrian perlu diberi pujian setelah menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada pasukan lawan.

Napoli melancarkan serangan seawal minit keenam dan telah pun menghasilkan gol tetapi tidak dikira kerana ofsaid. Beberapa percubaan tepat kearah gol daripada trio Liverpool iaitu Sadio Mane, Roberto Firmino, dan Mohamed Salah juga gagal menembusi gawang gol tuan rumah yang dikawal rapi Alex Meret. 

Anak buah Carlo Ancelotti berjaya mendapat gol pertama menerusi sepakan penalti selepas bek kiri Liverpool, Andrew Robertson mengasari Jose Callejon di dalam kotak penalti. Dries Merten mudah menewaskan Adrian sebelum Fernando Llorente menambah jaringan kedua hasil kesilapan pemain terbaik UEFA, Virgil van Dijk. Kemenangan ini menyaksikan Napoli mengungguli tangga teratas kumpulan E bersama FC Red Bull Salzburg yang membelasah Genk 6-2 di halaman sendiri. 

Satu lagi kelab Inggeris yang beraksi pagi tadi, Chelsea tewas 1-0 keatas Valencia di gelanggang sendiri. Kecemerlangan penjaga gol Valencia, Jasper Cillessen yang bertindak cemerlang menidakkan gawang dibolosi hasil serangan bertubi-tubi daripada The Blues. 

Skuad bimbingan Frank Lampard dilihat sedikit tempang selepas kehilangan sentuhan pemain muda sensasi, Mason Mount yang terpaksa dikeluarkan setelah diterjah bekas pemain Arsenal, Francis Coquelin. Peluang demi peluang dihasilkan The Blues namun gagal menghasilkan jaringan. Akhirnya, gol tunggal perlawanan muncul pada minit ke-74 setelah Rodrigo menyempurnakan umpanan ketua pasukan, Daniel Parejo.

Evening Standard

Chelsea mendapat peluang keemasan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung perlawanan tetapi sepakan Ross Barkley sekadar singgah ke palang gol. Kekalahan ini bermakna Chelsea ketinggalan tiga mata, manakala Valencia dan Ajax Amsterdam mendahului kumpulan H hasil kemenangan pada perlawanan pembukaan.