Malaysia Berita

Terengganu jumpa JDT

Terengganu  berjaya mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas menumpaskan PKNS 2-0 di Stadium Shah Alam semalam. 

Sanjar Shaakhmedov membuka tirai jaringan seawal minit keempat sebelum Tchetche Kipre menambah duka PKNS dengan gol kedua lima minit kemudian. Pasukan pelawat yang melancarkan serangan bertali arus gagal menambah sebarang jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan. Kemenangan ini sekaligus melayakkan pasukan bimbingan Irfan Bakti ke pusingan suku akhir menentang juara kumpulan B, Johor Darul Ta’zim. 

JDT mencatat kemenangan tipis 2-1 keatas UiTM FC yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam. Pasukan pelawat yang merehatkan beberapa pemain utama dikejutkan pasukan tuan rumah dengan gol pembukaan daripada Zulkiffli Zakaria pada minit ke-39. Serangan demi serangan yang dilakukan JDT akhirnya membuahkan hasil apabila Adam Nor Azlin berjaya menyamakan kedudukan apabila menanduk masuk sepakan percuma Syamer Kutty Abba. Fahdli Shas menghadiahkan gol kemenangan pada mini ke-58 dengan satu rembatan deras kaki kiri dalam kotak penalti. 

Satu lagi perlawanan yang berlangsung malam tadi menyaksikan Kedah menewaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman. Gol pasukan Kedah dijaringkan oleh Farhan Roslan, Fernando Rodriguez, Fayadh Zulkifli Amin, dan Edgar Bernhardt manakala gol saguhati pasukan pelawat disumbangkan oleh Igor Luiz dan Ferris Danial Mat Nasir. Kedah selaku juara kumpulan A bakal bertemu naib juara kumpulan B yang akan ditentukan malam ini dimana PKNP akan melayan kunjungan Petaling Jaya City di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.