Kolum

Malaysia vs UAE : Malaysia yang berbeza

Malaysia mencatat kekalahan pertama semalam ketika menerima kunjungan Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kekalahan ini meletakkan Malaysia di tangga ke tiga Kumpulan G selepas Thailand berjaya menundukkan Indonesia di Gelora Bung Karno dengan keputusan 3-0.

Beraksi di halaman sendiri, Malaysia membuka jaringan menerusi Syafiq Ahmad seawal minit pertama perlawanan selepas menerima umpanan cantik daripada pertahanan Pahang, Mathew Davies dari sebelah kanan padang. Namun jaringan tersebut dinafikan beberapa minit sebelum rehat masa pertama apabila Ali Makhbout menyamakan kedudukan sebelum meletakkan UAE di hadapan pada separuh masa kedua.

Biarpun gagal mencatat kemenangan, terdapat banyak perkara positif yang boleh diperkatakan untuk skuad Tan Cheng Hoe. Daripada barisan pemain muda, suasana sokongan dan juga beberapa kesilapan mudah telah mencorakkan permainan semalam. Tetapi semestinya ia adalah permulaan buat Tan Cheng Hoe kerana bekas jurulatih dari Kedah ini mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan buat Harimau Malaya.

Penyokong dan permainan yang mengujakan

Beraksi di hadapan lebih 40,000 penonton telah menghadirkan satu jalan cerita yang berbeza. Ini merupakan kali pertama kita melihat Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi dengan penonton dari pelbagai latar belakang dan bangsa pada aksi peringkat kumpulan, semuanya hadir dengan satu tujuan, iaitu menyokong skuad Harimau Malaya.

Semua tahu bahawa Bukit Jalil hanya akan mula penuh apabila skuad negara bermain pada aksi final – contoh dapat dilihat pada aksi Final Piala AFF tahun lalu dan juga Sukan SEA ketika skuad muda Malaysia menentang Thailand bagi merebut ibu segala pingat. Tetapi suasana semalam telah memberi gambaran baharu buat sejarah bola sepak negara.

Budaya ini dilihat telah mencipta satu suasana positif buat langskap bola sepak negara – biarpun terdapat kerusi yang masih kosong – kerana sokongan dan dokongan peminat telah memberi satu nafas segar buat pasukan negara untuk beraksi baik bagi memberi satu senyuman buat peminat yang hadir.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa kemenangan di Indonesia minggu lalu telah memberi satu suntikan motivasi buat penyokong untuk hadir, tetapi bagi kami, semuanya kerana kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pemain bahawa mereka sekarang sedang cuba untuk membawa Malaysia ke satu kelompok elit bola sepak Asia.

Ini dapat dilihat apabila skuad negara tampil dengan permainan berbeza apabila mudah menjaringkan gol pertama seawal minit pertama menerusi Syafiq Ahmad.

Hari-hari sebelum perlawanan telah menyaksikan debat di media sosial bagaimana Tan Cheng Hoe sepatutnya turun dengan taktikal bertahan kerana UAE bukanlah lawan mudah dan di atas kertas mereka adalah pasukan yang jauh lebih baik buat Malaysia.

Tetapi jaringan pertama Syafiq Ahmad dan penguasaan pada separuh masa pertama jelas menunjukkan bahawa bekas jurulatih Kedah ini tidak peduli dengan ranking dan kelebihan yang dimiliki oleh UAE.

Beliau malah tampil dengan permainan sama ketika menang ke atas Indonesia dengan meletakkan Sumareh di sayap kanan dan Safawi Rasid bertindak sebagai sayap kiri bagi menekan bahagian pertahanan UAE yang jelas goyah pada separuh masa pertama.

Namun kegagalan bahagian serangan meledakkan beberapa peluang terhidang pada separuh masa pertama telah menghukum kita apabila Ali Makhbout menjaringkan dua gol bagi meletakkan UAE di hadapan.

Kesilapan ini juga disebabkan isu kepenatan yang jelas dilihat pada separuh masa kedua apabila barisan pertahanan kita hilang fokus yang menyebabkan kita dihukum oleh UAE.