Kolum

Juventus ‘tipu’ Emre

Pemain tengah antarabangsa Jerman, Emre Can tidak berpuas hati dengan tindakan pengendali utama Juventus, Maurizio Sarri yang menyisihkan beliau daripada senarai pemain yang akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah. Bintang Croatia, Mario Mandzukic dan pertahanan tengah berpengalaman, Giorgio Chiellini juga diketepikan.

Emre yang sudah beraksi selama semusim bersama kelab Turin itu telah menyumbang empat jaringan gol dalam 29 penampilan. Beliau berhijrah ke Itali atas dasar peluang untuk memanfaatkan minit perlawanan berbanding di Anfield. Emre dilihat bergelut dalam usaha mendapat tempat bersama Liverpool setelah kehadiran beberapa muka baru. Selain itu, beliau juga menganggap peluang untuk menjulang kejuaraan eropah lebih cerah bersama Juventus jika dilihat akan kualiti pemain yang dimiliki.

Namun begitu, kehadiran Sarri yang menggantikan Massimiliano Allegri sedikit sebanyak mengubah landskap pemain. Sarri menandatangani beberapa pemain bertaraf bintang termasuk Aaron Ramsey, Adrien Rabiot, Matthijs de Ligt, dan Danilo. Kebanjiran pemain tengah berkualiti menyukarkan beliau membuat pilihan. Pemain tengah sedia ada seperti Sami Khedira, Rodrigo Bentancur, Blaise Matuidi, dan Miralem Pjanic sebenarnya sudah cukup kukuh untuk bersaing dengan pasukan gergasi yang lain.

Kini, Emre dikatakan berasa tertipu dan sudah berbincang bersama ejen untuk mencari destinasi baru. Beliau dahagakan kejuaraan dan ingin beraksi bersama skuad utama. Jika sekadar hanya memanaskan bangku simpan, lebih baik beliau kekal bersama anak didik Jurgen Klopp yang berjaya merangkul kejuaraan eropah musim lepas.

Jika diamati secara sejarahnya, ini bukanlah pertama kali Sarri menghadapi masalah bersama pemain. Sebelum ini, terdapat beberapa insiden dan kemelut diantara beliau dan anak buah ketika mengendali pasukan Chelsea. Antaranya ialah ketika final Piala Liga diantara Chelsea dan Manchester City dimana menyaksikan penjaga gawang The Blues, Kepa Arrizabalaga yang enggan menurut arahan Sarri untuk ditukar sebelum penentuan sepakan penalti.

Oleh yang demikian, tindakan Emre untuk menyertai pasukan baru merupakan satu keputusan yang baik kerana persaingan sengit pasti akan berlaku di dalam pasukan. Sememangnya persaingan sihat akan melahirkan pemain yang berkualiti. Walaubagaimanapun, jika melibatkan pemain dengan skala yang besar, ianya mampu membunuh karier pemain yang sedang bergelut.