Luar Negara Berita

Tenggelamnya Bury FC

Harapan peminat Bury FC untuk melihat pasukan mereka beraksi pada musim ini terkubur selepas syarikat analisis data C & N Sporting Risk menarik diri untuk membeli kelab itu dari pemilik Steve Dale pada minit-minit akhir.

Bury, dibentuk pada tahun 1885, gagal turun pada lima perlawanan awal liga musim ini dan merupakan pasukan pertama yang dikeluarkan dari EFL sejak 1992.

Divisyen Satu kini akan beraksi dengan 23 pasukan dan jumlah pasukan yang tersingkir akan dikurangkan kepada tiga berbanding empat.

Kenyataan EFL menulis ; “Selepas menimbang pelbagai pilihan, termasuk beberapa tawaran dikalangan pelabur yang menghantar permohonan kepada EFL, namun Lembaga EFL sebulat suara dengan penuh kesal menamatkan keahlian Bury,” kata kenyataan berkenaan.

“Lembaga pengarah EFL kekal dengan keputusan bahawa tiada lagi penggantungan perlawanan dan intergriti liga ini faktor signifikan dalam membuat keputusan berkenaan.”

Sebelum ini, Bury tidak dapat memulakan musim mereka selepas EFL tidak berpuas hati dengan bukti yang dikemukan pihak kelab bahawa mereka mempunyai dana yang diperlukan untuk bersaing pada musim ini dan hasilnya, EFL telah menetapkan tarikh akhir 27 Ogos untuk Bury membuktikan yang mereka mampu.

Potongan 12 mata juga dikenakan oleh EFL selepas pemilik Steve Dale dan pemiutang kelab bersetuju dengan susunan Syarikat Pesuruhjaya Sukarela (CVA) – pelan menyelamat – untuk menghapuskan beberapa hutang kelab.