Ia bukanlah sesuatu yang mudah buat Gareth Bale apabila diketepikan oleh Zidane dari skuad utama pada aksi pra musim dan terpaksa berlatih bersama-sama pemain yang tidak diperlukan oleh jurulatih kelahiran Perancis – James Rodriguez dan Mariano.
Sementara seluruh skuad utama dilihat turun berlatih, Bale dan kedua-dua pemain tersebut telah disisihkan oleh Zidane.
Namun, takdir tetap memihak kepada Bale selepas penyerang utama Los Blancos, Eden Hazard dilaporkan cedera.
Biarpun diketepikan sebelum ini, Bale dipanggil kembali membarisi skuad utama Zidane dengan pemain itu dilihat bersikap profesional dengan memainkan peranan beliau ketika Los Blancos menewaskan Celta Vigo, 3-1 pada aksi pembukaan minggu lalu.
Perang dingin antara Bale dan Zidane sebelum ini jelas tidak membawa apa-apa makna kepada pemain berusia 30 tahun tersebut selepas membuktikan kemampuan beliau di Madrid.
Sebelum ini Bale nyata tidak mendapat sokongan Zidane – diketepikan pada aksi pra musim dan dengan jalan perpindahan keluar dari Madrid dilihat terbuka luas buat Bale.
Tetapi realitinya sekarang, Zidane masih memerlukan Bale dengan kelab itu dalam perancangan untuk membawa kembali Los Blancos bersaing dengan kelab-kelab gergasi Eropah.
Naratif di Real Madrid kelihatan berubah. Seperti Bale, James juga dilaporkan kembali diberi peluang oleh Zidane, sementara Mariano dapat menjadi pemain penting bagi buat Los Blancos apabila ia pulih dari kecederaan.
Ini jelas membuktikan bahawa betapa banyak perkara yang dapat berubah dalam sedikit waktu.