Persatuan Bolasepak FAM meminta kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk melengkapkan proses permohonan lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2020 sebelum 31 Ogos ini.
Musim lalu 12 pasukan yang bertanding di dalam Liga Super lulus permohonan mendapatkan lesen kebangsaan manakala Kedah, Selangor, JDT, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS lulus dalam mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi di pertandingan peringkat Asia.
Justeru, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata semakan awal akan dilakukan bagi membantu para pasukan melengkapkan segala dokumen bagi membolehkan mereka bertanding di peringkat kebangsaan dan juga Asia.
“Jadi, kalau ada kesilapan di mana-mana ataupun ada dokumen yang tidak lengkap, kita masih ada masa untuk memaklumkan kepada semua pasukan bagi membuat pembetulan. Ini dapat mengelak daripada sebarang masalah berlaku selepas permohonan ditutup.” Katanya kepada Berita Harian.