Liga Super Malaysia Berita

Felda bagai telur di hujung tanduk, adakah mereka akan kekal atau tersingkir?

Felda United berada di ambang penyingkiran selepas gagal mencipta kemenangan ke atas Selangor pada minggu lalu bagi menghidupkan peluang mereka untuk kekal di Liga Super.

Dengan Johor Darul Ta’zim yang sudah dinobatkan sebagai juara, Felda sedang bersaing untuk mengutip mata semaksimum mungkin dalam baki empat perlawanan.

Sejak 18 perlawanan yang dimainkan, Felda hanya berja mengutip 12 mata dan lebih parah lagi apabila mereka mengalami 10 kekalahan, 6 keputusan seri dan hanya mencatat 2 kemenangan.

Pasukan kendalian Mohd Nidzam Jamil bakal menghadapi Kuala Lumpur esok malam sebelum ke Mahjung bagi melayan PKNP FC dan seterusnya bertemu Pahang serta Kedah dalam baki empat perlawanan.

Felda United dilihat hanya mampu mencuri mata apabila berdepan PKNP dan Kuala Lumpur serta bakal hadapi cabaran sukar untuk mengutip kemenangan dengan skuad Pahang dan Kedah.

Bagi Nidzam, Felda perlu berjuang sehabis baik dalam baki empat perlawanan jika mahu kekali beraksi di Liga Super.

“Bagi saya, situasi dihadapi FELDA United ketika ini semakin rumit kerana kami tidak boleh lagi terlepas sebarang mata jika mahu kekal dalam Liga Super musim depan,” kata Nidzam.

“Pemain tidak boleh lagi memberi peluang kepada lawan, sebaliknya perlu agresif dalam memburu kemenangan… walaupun tiada yang mustahil dalam permainan bola sepak, kita tidak boleh lakukan sebarang perubahan jika sering mengulangi kesilapan mudah apabila ditekan lawan.” Katanya.