Kolum

Video : Kekal di Itali atau berpindah keluar, empat destinasi Icardi untuk musim depan

Pengarah Sukan Inter Milan, Guiseppe Marotta mengesahkan bahawa Mauro Icardi tidak berada dalam perancangan Inter untuk musim depan dan telah meminta pemain itu untuk mencari kelab baharu.

Setelah mempunyai beberapa masalah disiplin sehingga digugurkan daripada skuad utama dan dilucutkan jawatan kapten musim lalu, masa depan Icardi dilihat begitu samar bersama Inter.

Tambahan daripada itu, komen-komen yang dilakukan oleh ejen dan juga isteri beliau, Wanda Nara sebelum ini telah mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

Berikut adalah beberapa kelab yang mungkin menjadi destinasi beliau.

Juventus

Icardi telah lama dikaitkan dengan juara Serie A, Juventus. Naib Pengerusi, Pavel Nedved dan Pengarah Sukan, Fabio Paratici adalah antara yang berminat untuk membawa beliau ke Turin.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, telah dilaporkan bahawa Icardi bakal menggantikan Paulo Dybala di Juve.

Tambahan daripada itu, dengan penjualan Mario Mandzukic, kita mungkin bakal melihat Icardi berada di Juventus pada musim hadapan.

Napoli

Icardi juga diperlukan di selatan Itali, di mana Presiden Napoli, Aurelio de Laurentiis bersedia untuk menawarkan kontrak untuk pemain tersebut.

Bintang kelahiran Argentina adalah antara pemain yang disukai oleh Carlo Ancelotti, tetapi salah seorang penyerang Napoli perlu pergi bagi memberi jalan kepada Icardi untuk berpindah ke Napoli.

Atlético Madrid

Walaupun Nara dan Icardi sebelum ini menyatakan bahawa mereka mahu kekali di Itali, pilihan juga terbuka kepada mereka untuk bergerak ke Sepanyol apabila Atletico Madrid berminat untuk membawa masuk pemain ini.

Walau bagaimanapun, kehadiran Icardi hanya bergantung kepada penjualan Diego Costa setelah Atletico mengumumkan pembelian Alvaro Morata dari Chelsea.

Manchester United

Perpindahan ke Liga Perdana dilihat sebagai samar-samar. Nara mahupun Icardi tidak mahu perubahan ketara.

Nasib Icardi ke Manchester United hanya akan diketahui jika Romelu Lukaku bersedia untuk berpindah ke Inter Milan dengan kedua-dua kelab di lihat mahu membuat pertukaran pemain.