Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : JDT buru kemenangan ke 14 di Kota Melaka

Johor Darul Ta’zim dalam misi memburu kemenangan ke 14 dalam aksi Liga Super apabila dijadualkan bakal bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Kemenangan ini bakal memberi peluang kepada pasukan daripada selatan tanah air untuk menjarakkan diri dengan Pahang yang tewas di tangan Selangor malam tadi.

Selain daripada itu, Melaka United semestinya mahu menyerap setiap asakan lawan bagi memberi mata selesa di halaman sendiri.

Bagi bekas kapten Melaka dan Johor, Azmil Azali percaya JDT sukar digugat dengan beberapa individu bakal terus menjadi senjata utama pasukan Harimau Selatan.

“Momentum kemenangan dalam jiwa pemain sentiasa menjadi azimat buat skuad kendalian Luciano Figueroa yang mahu bermati-matian mengelak kekalahan pertama daripada berlaku.

Tetapi harus diingat bahawa Melaka United adalah antara pasukan yang baik sejak beraksi di Liga Super dan semestinya mahu menggunakan gelanggang sendiri untuk menunjukkan taring mereka.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur minggu lalu mampu memberi suntikan semangat buat skuad MU dan pemain tengah JDT, Hariss Harun mahu rakan sepasukan tetap waspada dengan ancaman MU.

“Persembahan ketika menang ke atas Selangor 3-2, baru-baru ini bukanlah permainan terbaik JDT dan masih ada ruang untuk meningkatkan lagi permainan dan persiapan lebih rapi akan dilakukan sebelum menentang MU.

“Kita kena fokus kerana aksi seterusnya di gelanggang lawan dan pertembungan menentang MU dianggap penting bagi kami untuk kekalkan momentum kemenangan dalam usaha memburu kejuaraan liga keenam berturut-turut.

“Mengikut perkiraan, kita perlu menang dua lagi perlawanan iaitu menentang MU dan Perak jika mahu mengesahkan kejuaraan lebih awal. Tapi biarlah kami harungi satu persatu perlawanan malah kami tidak boleh terlalu selesa sebaliknya kerja keras harus diteruskan bagi mengharungi setiap perlawanan,” katanya.