Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Kedah buru tiga mata penuh di Darul Aman

Pertembungan di antara Kedah dan PJ City perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para pemain Helang Merah untuk mencatat kemenangan dalam aksi Liga Super.

Selepas Selangor dan Perak berjaya menundukkan lawan masing-masing, Kedah jatuh dua anak tangga dengan berada di kedudukan kelima Liga Super dan hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tempat ketiga dan keempat.

Kemenangan ke atas PJ City bakal memberi peluang kepada Kedah untuk memintas kedudukan Liga Super dan berada di tangga ketiga.

Bagi pemain sayap Kedah, Farhan Roslan percaya pertembungan dengan PJ City bakal memberi peluang kepada pasukan Kedah untuk mencabar kedudukan teratas liga.

Beliau yang sebelum ini dilanda kecederaan ketika menentang Pahang pada 14 Jun lalu bersedia diturunkan bagi membantu pasukan.

Dalam masa yang sama, Farhan berkata kemenangan ke atas PJ City sekaligus bakal memberi tiga mata penuh adalah misi utama pasukan apabila bakal bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Kita memerlukan tiga mata selepas menewaskan PKNS FC di Shah Alam, minggu lalu dan saya yakin rakan sepasukan juga semakin bersemangat selepas kemenangan yang kita peroleh itu.” Katanya kepada BH Sukan.